Tuesday, June 15, 2010

Penstrukturan Waktu Persidangan

Assalamualaikum wrt wbt


Berkuatkuasa 1 Julai 2010, semua Mahkamah Rendah, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan akan memulakan persidangan pada waktu yang lebih awal berbanding sebelum ini.

Penjadualan terbaru ini terkandung dalam Arahan Amalan Bil 4 Tahun 2010, yang menyatakan Ketua Hakim Negara telah mengarahkan Mahkamah Rendah serta Mahkamah Tinggi bersidang pada 8.30 pagi manakala Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan bersidang pada 9.00 pagi setiap hari.

Menurut kerajaan, arahan penguatkuasaaan ini adalah bertujuan untuk menjadikan mahkamah lebih produktif tanpa membuang masa serta dapat melupuskan lebih banyak kes setiap hari.

Ini akan memberikan lebih masa kepada seorang Hakim atau Majistret untuk mendengar lebih banyak kes seterusnya melupuskan lebih banyak kes tertunggak dan juga mempercepatkan pendengaran kes-kes lain.

Waktu persidangan lebih awal bagi Mahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi berbanding Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan adalah kerana jumlah kes lebih tinggi direkodkan diMahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi.

Secara ringkasnya ;-

  • Sistem yang bakal diimplementasikan ini merupakan satu langkah positif ke arah menyelesaikan tunggakan kes yang semakin serius di mahkamah walaupun arahan yang dikeluarkan Ketua Hakim Negara merupakan arahan am sahaja.
  • Kerajaan juga harus menitikberatkan faktor-faktor biasa yang mendorong tunggakan kes dimahkamah antaranya tiada penggantian Hakim secara sistematik dan segera bagi sesebuah mahkamah apabila seseorang Hakim dimahkamah tersebut ditukar ke tempat lain secara tiba-tiba ( seperti yang dilaporkan berlaku di Mahkamah Sesyen Telok Intan baru-baru ini )
  • Keputusan segera perlu dikeluarkan kerajaan setelah menjalankan kajian terperinci terhadap kewajaran cadangan penggunaan sistem e-filling dimahkamah serta cadangan mengadakan persidangan mahkamah tambahan pada waktu malam bagi mengatasi masalah tunggakan kes ini.

Friday, June 11, 2010

GST : Perlukan Kajian Menyeluruh

Assalamualaikum wrt wbt


Setakat hari ini, kerajaan belum lagi menetapkan tarikh pelaksanaan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) kerana dikatakan pemahaman di peringkat rakyat belum lagi jelas terutamanya terhadap isu kenaikan barang oleh peniaga secara berlebihan berasaskan kewujudan GST.

Kenapa kerajaan beria-ia untuk melaksanakan GST ?


Kelebihan & faedah dipihak kerajaan :

  • Mengembangkan asas cukai kerajaan supaya lebih meluas dan tidak terlalu bergantung kepada cukai pendapatan dan petroleum
  • Mengukuhkan hasil dan kewangan kerajaan dalam jangka masa panjang ( yang akan membolehkan kerajaan menjalankan perbelanjaan pembangunan dengan lebih baik serta membayar gaji penjawat awam yang lebih tinggi )
  • Kelebihan sistem GST itu sendiri ( 146 buah negara telah melaksanakannya termasuklah negara maju di Eropah dan negara serantau lain seperti Jepun, China, Australia, New Zealand, Singapura bahkan Indonesia, Vietnam, Kemboja dan Laos juga telah melaksanakannya )

Rakyat pula tidak perlu bimbang kerana banyak barang keperluan asas seperti makanan akan DIKECUALIKAN atau DIBEBASKAN dari GST, antaranya :

  • Produk Pertanian - padi dan sayur-sayuran segar.
  • Barang Makanan - beras, gula, garam, tepung, minyak masak, binatang ternakan dan daging lembu, kerbau, khinzir, kambing, ayam dan itik, telur, ikan, udang, kerang dan sotong.
  • Bekalan Elektrik dan Bekalan Air.
  • Barang dan Perkhidmatan yang dieksport.

Perbezaan DIKECUALIKAN dan DIBEBASKAN dari GST :

  • DIKECUALIKAN - tidak perlu bayar cukai.
  • DIBEBASKAN - bukan sahaja tidak perlu bayar cukai tetapi dibolehkan lagi menuntut cukai-cukai yang dibayar kepada input-inputnya.

Kebaikan dan faedah kepada peniaga dan pengilang :

  • Boleh menuntut semula GST yang dikenakan ke atas input yang digunakan dalam barangan yang dihasilkan atau dalam perniagaan mereka.
  • Bermakna mereka hanya perlu membayar cukai ke atas nilai yang ditambah oleh mereka sahaja ( mengelakkan dari cukai bertindih atau double taxation ) .
  • 433 558 atau 78 peratus entiti perniagaan akan DIKECUALIKAN daripada sistem GST ( hanya syarikat perniagaan yang mempunyai jualan sebanyak RM 500 000 setahun di atas sahaja yang tertakluk pada GST ) .

Berapa peratus kadar GST akan dilaksanakan ?


Hanya pada kadar 4 peratus sahaja bagi memberikan kesan positif dinikmati rakyat, antaranya :

  • Kadar beban cukai golongan MISKIN sekarang 2.38 % akan turun kepada 2.17 %. (penurunan 0.21 peratus)
  • Kadar beban cukai golongan PENDAPATAN RENDAH sekarang 2.75 % akan turun kepada 2.43 % (penurunan 0.32 peratus)
  • Golongan SEDERHANA 2.94 % kepada 2.54 % (penurunan 0.4 peratus)
  • Golongan TINGGI 3.13 % kepada 2.74 % (penurunan 0.39 peratus)
  • Secara puratanya beban cukai akan turun dari 2.88 % kepada 2.53 % (penurunan sebanyak 0.35 peratus)

Dari sudut INFLASInya juga akan mengalami penurunan :


  • Dari segi IHP atau Indeks Harga Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan dijangka turun 0.08 % .
  • 1.2 % penurunan sektor Restoran dan hotel .
  • 1.86 % penurunan sektor Komunikasi .
  • 0.94 % penurunan sektor Pengangkutan .
  • Melalui perkiraan secara keseluruhannya dari segi impak harga pengguna dijangka turun 0.1 % .

Bagi mengatasi masalah fraud dan isu ketidakpatuhan kerajaan akan membentangkan Rang Undang-undang Anti Profeeting.

Bacaan kali pertama setakat ini sudah dibuat di Parlimen. Ianya penting bagi menghalang kegiatan mengambil keuntungan yang berlebihan dipihak peniaga dan pengusaha barangan.

Kementerian Kewangan melaporkan sesi penerangan dan pemahaman mendapat feedback positif dari rakyat melibatkan 126 buah program telah dianjurkan kerajaan dengan lebih 18 000 peserta menyertainya.


Sekali imbas, ianya satu sistem yang cukup sempurna untuk diaplikasikan.

Namun ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan sebelum melaksanakan GST supaya ianya tidak menjadi liabiliti dan membawa kerugian kepada negara dan rakyat dalam tempoh jangka masa yang panjang. Antaranya :

  • Menjalankan kajian secara terperinci terhadap tahap keberkesanan GST yang telah digunapakai dinegara sedang membangun dan pendapatan per kapita yang kurang dari Malaysia seperti Sudan, Thailand, Brazil, Afrika Selatan (memandangkan wujudnya cadangan bahawa GST sesuai dilaksanakan bilamana negara mencapai high income status dan developed nation )
  • Memberi jaminan serta menetapkan bahawa kadar perlaksanaan GST yang akan digunapakai untuk jangka masa panjang sekurang-kurangkan untuk tempoh 20 tahun akan datang adalah 4 % sahaja. Ini kerana terdapat percanggahan antara kenyataan kerajaan dan ahli lembaga National Economic Advisory Council (NEAC) yang berpendapat peratusan GST perlu dipertingkatkan lagi pada masa akan datang bagi mengukuhkan lagi pendapatan kerajaan serta mengatasi masalah defisit dan hutang kerajaan memandangkan setakat ini jangkaan hutang kerajaan persekutuan pada 2010 sebanyak RM 405.1 billion atau 52.9 peratus kepada KDNK negara.
  • Sebarang perubahan pada peratusan GST nanti hendaklah mengutamakan serta mendahulukan kebajikan kehidupan rakyat secara total berbanding memelihara kepentingan syarikat-syarikat korporat kerajaan dan swasta secara amnya.
  • Menetapkan dalam rang undang-undang Anti-Profeeting yang sedang digubal atau menggubal undang-undang baru berkenaan bayaran penalti setimpal akan dibayar kerajaan kepada pihak terlibat sekiranya pembayaran balik tax refund tidak pada masa dan tempoh yang telah ditetapkan. Ini bagi memastikan pihak kerajaan serta pihak terlibat berada pada keadaan win-win situation dan tidak menimbulkan masalah aliran tunai bagi syarikat yang terlibat dengan GST.
  • Memastikan bahawa anggaran kos pematuhan bagi syarikat serta kerajaan bagi melaksanakan GST tidak memberikan kesan atau di pass on kepada pengguna. Ini memandangkan ada kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa kos pematuhan di negara yang melaksanakan GST menjangkaui angka 3 % yang pastinya memangsakan pengguna secara hakikatnya.

Berpeganglah pada prinsip BERINGAT SEBELUM KENA serta SEDIAKAN PAYUNG SEBELUM HUJAN.

Berapa banyak dasar yang telah dilaksanakan secara terburu-buru sebelum ini yang akhirnya merugikan kita semua dengan mengambil dasar PPSMI sebagai contoh yang terdekat.

Perjudian ini melibatkan soal keseriusan serta ketelusan kerajaan dalam membawa kebaikan kepada rakyat serta perbelanjaan yang bukan seringgit dua dan tempoh penggunaan yang sekejap. Moga semua pihak mendapat manfaat daripada nya terutamanya rakyat marhaen.

Wednesday, June 2, 2010

BRAIN DRAIN vs BRAIN GAIN

Assalamualaikum wrt wbt.


Pernahkan anda terdengar isu negara kita kekurangan tenaga pakar dalam bidang tertentu yang wujud di MALAYSIA seperti perubatan, kejuruteraan dan teknologi maklumat?

Mungkin kerana perkara ini juga yang mendorong Perdana Menteri mengambil firma APCO sebagai penasihat kerajaan dalam memperbaiki imej negara di mata dunia, siapa tahu ?

YA atau TIDAK, let's figure out the fact !


FAKTA

Dalam satu kajian yang dibuat Unit Perancang Ekonomi sebagaimana yang dilaporkan Locus 2008, mendapati pada tahun 2000 sejumlah 785 000 orang ( atau 3.1 peratus daripada jumlah penduduk negara ) yang berasal dari Malaysia telah menetap di luar negara.

Perangkaannya adalah seperti berikut :

  • 40 peratus menetap di Singapura
  • 32 peratus di negara membangun - Australia, Kanada, Britain, Amerika Syarikat dan New Zealand
  • 20 peratus di negara ASEAN - Brunei, Filipina dan Indonesia

Apa yang lebih penting, 350 000 orang dari jumlah tersebut bekerja diluar negara dan kebanyakan daripada mereka adalah pekerja mahir. Pembahagian seperti berikut :

  • Singapura seramai 30 000 hingga 40 000 orang
  • Australia 79 000 orang
  • Amerika Syarikat 52 000 orang
  • Britain 50 000 orang

Antara faktor yang dilihat mendorong fenomena ini :

  • Mencari pekerjaan dengan gaji yang lumayan
  • Berhijrah diatas sebab keluarga
  • Melanjutkan pelajaran

Sebenarnya isu drain-brain ini bukan hanya dihadapi oleh MALAYSIA sahaja, bahkan negara maju juga turut terlibat.


Ini dibuktikan melalui analisis nisbah yang dijalankan Kementerian Sumber Manusia didapati bahawa nisbah antara penduduk yang tinggal di luar negara dengan populasi rakyat sebuah negara menunjukkan :


  • MALAYSIA - 1 : 36
  • FILIPINA - 1 : 27
  • KANADA - 1 : 26
  • BRUNEI - 1 : 22
  • SINGAPURA - 1 : 18
  • LAOS - 1 : 18
  • BRITAIN - 1 : 15
  • NEW ZEALAND - 1 : 8

Negara kita berada di tangga keberapa dalam ranking dunia ? Wallahua'lam


TINDAKAN KERAJAAN

Kerajaan telah memperkenalkan program brain gain bagi mengatasi isu ini, antara kandungan adalah :


1. MELALUI KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA

Rakyat negara kita yang berhasrat pulang berkhidmat ditawarkan insentif :

  • Membawa pulang 2 buah kereta ke MALAYSIA dengan pelepasan cukai
  • Status penduduk tetap negara pada pasangan yang berwarganegara asing
  • Anak mereka yang berhasrat kekal di sekolah antarabangsa akan diberikan bantuan ke arah itu

2. MELALUI KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN iNOVASI

  • Melaksanakan brain gain MALAYSIA untuk program- program yang berteraskan sains, teknologi dan inovasi

3. MELALUI usaha MODEL EKONOMI BARU

  • Menjana negara kearah negara berpendapatan tinggi
  • Mewujudkan zon - zon pembangunan wilayah yang ada pada masa ini dengan pelbagai peluang pekerjaan dan juga keperluan tenaga pakar dan profesional yang akan menampung dan menarik lebih ramai lagi rakyat negara kita kembali.

PERSOALAN

Patah tumbuh hilang berganti ?

Jumlah tenaga mahir profesional asing yang aktif dinegara kita mengikut sektor yang wujud adalah :

  • 31 397 orang sehingga Februari 2010
  • Secara peratusannnya 3 % dari 11 juta tenaga pekerja negara

Tenaga expatriate (asing) yang ada dinegara kita dikatakan membawa pelbagai faedah yang boleh dimanfaat untuk proses pembangunan negara dimana berdasarkan kemasukan mereka itu teratur dan berdasarkan kepada keperluan negara melaui prosedur yang begitu terperinci.


Syaratnya mewajibkan berlakunya pemindahan teknologi kepada warga negara kita yang sudah tentu akan memberi manfaat dan kehadiran mereka juga dapat memesatkan lagi usaha negara untuk mengupayakan MALAYSIA serta meningkatkankan lagi daya saing dalam pelbagai bidang baru.


Betulkah ianya begitu ?

Berdasarkan langkah-langkah yang telah diambil kerajaan, dapat diformulakan :

  • Brain gain hanya berlaku dibawah REP 601 orang, dibawah BGM 1051 orang ( secara mudahnya brain gain hanya berjaya menarik 1051 orang )
  • Manakala brain drain antara 2007 dan 2009 telah keluar sebanyak 118 peratus
  • Ianya berdasarkan angka 139 000 orang pada 2007 dan telah meningkat sebanyak 304 000 orang pda tahun 2009. Peratusannya 118 % !
  • Sedangkan brain gain hanyalah 1051 orang sahaja

KESIMPULAN

Doing the same thing over and over and over again, expecting a different result is lunatic !

Langkah yang dinyatakan diatas adalah langkah yang sedia ada yang telah di guna pakai kerajaan, setakat ini ianya boleh dikatakan menemui jalan buntu memandangkan kesan positif yang direkodkan amatlah rendah sekali.

Persoalan tersebut gagal dijawab Kementerian Sumber Manusia dengan alasan ianya juga melibatkan kementerian lain.

Mereka juga berhujah bahawa negara MALAYSIA sedang dalam peralihan menuju MEB dan berjanji bahawa segala langkah serta akta berkaitan isu ini akan dikaji semula supaya sejajar dengan maklumat dan tuntutan yang dibuat.

Mekanisme baru yang lebih proaktif dan efektif serta benar-benar telus adalah jalan pulang terbaik kepada masalah ini.

Berhentilah memberi alasan dan takut untuk mengakui kesalahan sendiri, saya yakin tiada alasan untuk rakyat membantah sekiranya tindakan yang diambil berasaskan prinsip ketelusan dan keadilan yang tulen bukan kerana mantera muluk semata kerana ianya adalah untuk kesejahteraan rakyat dan negara juga.

Kamu buat, kami nilai.

Thursday, May 20, 2010

Peguam Syarie ?

Assalamualaikum wrt wbt

  • Isu seorang peguam wanita bukan beragama Islam, Victoria Jayaseelee Martin, yang berjaya memperolehi kebenaran Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur bagi mendapatkan semakan kehakiman untuk beliau berkhidmat sebagai peguam di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur menjadi isu perbualan hangat dikalangan para akademik, pelajar undang-undang mahupun orang biasa (layman).
  • Memahami fakta kes dan perjalanan prosiding mahkamah dengan penuh teliti dan berhati-hati amatlah penting sebelum kenyataan melulu dikeluarkan.
  • Dalam kes ini, pemohon telah membawa perkara ini ke Mahkamah Sivil untuk membuat satu semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Jawatankuasa Peguam Syarie yang menolak permohonan beliau untuk menjadi peguam syarie. Sebelum sampai ke proses itu beliau perlu mendapat perintah keizinan dari mahkamah tinggi untuk memulakan tindakan tersebut. Permohonan untuk mendapatkan `leave` ini yang telah diluluskan oleh Mahkamah Tinggi Sivil baru-baru ini.
  • Pemohon belum lagi dibenarkan oleh pihak mahkamah untuk menjadi peguam syarie. Pihak mahkamah hanya membenarkan pemohon untuk membuat semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Peguam Syarie yang telah menolak pemohonan beliau.
  • Justeru, tidak timbul isu mahkamah TELAH membenarkan peguam bukan Islam menjadi peguam syarie.
  • Sebagai persediaan untuk menghadapi kes semakan kehakiman ini, saya mengesyorkan untuk kita buat satu kajian yang mendalam dengan merujuk proviso yang terdapat di dalam Kaedah-Kaedah Peguam Syarie di setiap negeri dan juga merujuk perbahasan dalam kitab-kitab Fiqh. Mungkin juga boleh rujuk bab Al-Wakalah dalam sub topik Wakalah bil al-Khusumah.

Dipetik dari Husaini Hussein

Bersama-sama kita doakan agar keadilan & kebenaran milik ISLAM jua akhirnya, moga Allah sentiasa melindungi syariat dan pejuang2 diatas jalanNYA sebagai kesinambungan kepada epilog kebangkitan ISLAM di bumi Malaysia, Amin...

Sunday, May 16, 2010

Laula Murobbi, Ma 'Araftu Robbi

Assalamualaikum wrt wbt.

Tanggal 16 Mei saban tahun secara simboliknya Hari Guru disambut bagi mengenang jasa besar golongan pendidik yang tidak pernah mengenal erti penat lelah dalam mendidik anak bangsa.

Bertemakan Guru Pembina Negara Bangsa pada tahun ini, watak utama golongan pendidik dalam membina sebuah ketamadunan yang berjaya sememangnya tidak dapat dinafikan.

Sejarah telah membuktikan kebenaran tersebut.

Bahkan tanggungjawab & peranan serta tugas mereka cukup besar untuk digalas.

Lebih-lebih lagi dalam membimbing generasi masakini agar selari dengan panduan syariat ISLAM dalam menongkah arus kemodenan akhir zaman yang kita semua sedia maklum akan cabaran & rintangannya.

Keringat serta jasa guru tidak ternilai harganya, hanya ucapan jutaan terima kasih serta doa yang mampu saya panjatkan buat cikgu semua, murobbiku.


Guru O Guru

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta

Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Trengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku

Budi yang di apungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Allahyarham Usman Awang
1979


Wednesday, May 5, 2010

Ke Arah Islamisasi Malaysia ?

Assalamualaikum wrt wbt.

Apabila disebut tentang ekonomi fikiran saya pantas terarah kepada sekumpulan kelompok nombor dan rumus serta formula yang amat mencabar untuk difahami, ianya merupakan fear factor bagi saya tambahan pula saya bukanlah ahlinya.

Namun kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe semalam menarik perhatian saya.

Kerajaan mengumumkan akan menggubal akta baru yang dinamakan AKTA SEWA BELI ISLAM hujung tahun ini.

Langkah ini diambil berikutan ciri-ciri sewa beli Islam tidak sesuai untuk digabungkan di bawah Akta Sewa Beli sedia ada yang mengandungi ciri-ciri sewa beli konvensional sahaja. Sebagai makluman, sebelum ini negara kita menggunakan AKTA SEWA BELI 1967 dalam urusan berkaitan.

Saya melihat ianya berkait rapat dengan dasar liberalisasi kewangan yang dilancarkan kerajaan baru-baru ini untuk menarik lebih ramai lagi pelabur asing bagi menjana kembali pertumbuhan ekonomi negara.

Hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hub kewangan Islam antarabangsa bakal diperkukuhkan lagi dengan wujudnya AKTA SEWA BELI ISLAM nanti. Walaupun dilaporkan sektor kewangan Islam sebelum ini dilihat kurang menjadi kerana hanya menguasai kurang satu peratus daripada instrumen kewangan global.

Ia juga selaras dengan penubuhan Malaysia International Islamic Financial Center (MIFC) yang merupakan salah satu agenda nasional untuk mengoptimumkan kelebihan daya saing Malaysia dalam bidang kewangan Islam di peringkat global berdasarkan aspek-aspek tertentu.


Antara beberapa lagi langkah lain yang dilihat selari dengan aspirasi besar kerajaan tersebut adalah :

  • Kewujudan IMCEIF ataupun Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa yang merupakan universiti antarabangsa pertama yang mengkhususkan dalam jurusan Kewangan Islam bagi melahirkan tenaga kerja kompeten di peringkat nasional dan global.
  • Pewartaan Akta Bank Negara Malaysia 2009 yang antara lain mengiktiraf kewangan Islam sebagai sebahagian daripada sistem kewangan negara.
  • Penubuhan Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa (ISRA) bagi menerajui usaha penyelidikan dan inovasi berkaitan syariah dalam kewangan Islam serta merangsang kefahaman yang jelas mengenai prinsip syariah dalam kewangan Islam di peringkat negeri dan antarabangsa.
  • Penubuhan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) yang menawarkan latihan kepada tenaga kerja industri kewangan khususnya dalam bidang kewangan Islam serta khidmat runding secara perbankan Islam kepada beberapa negara OIC seperti Kazakhstan dan Afghanistan.

Setakat ini saya masih melihat secara positif terhadap perkara ini walaupun pada hakikat sebenarnya masih banyak lagi yang perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan jika benar ikhlas untuk menjadikan negara sebagai hub sektor kewangan Islam antarabangsa dan bukannya salah satu political mileage serta umpan retorika untuk pilihanraya umum akan datang.

Antaranya ialah berkenaan penghapusan sistem kewangan riba secara total dalam semua sektor jabatan2 kerajaan, penggunaan sistem yang berteraskan syariat sebagai panduan utama dan juga melahirkan sistem kewangan yang benar-benar adil serta telus bagi menjamin kehidupan rakyat dalam segenap aspek berkaitan.

Semoga ianya berjalan dengan lancar menerusi pemantauan yang berskala tetap serta penambahbaikan dari masa ke semasa untuk menjamin peningkatan prestasi ke tahap yang lebih baik.


p/s : sebarang komen dan kritikan serta pembetulan fakta amatlah dialu2kan.



Monday, May 3, 2010

Seketika di PARLIMEN

Assalamualaikum wrt wbt.

Kempen MyConstitution/PerlembagaanKu meneruskan lagi langkahnya, penerangan kali ini berkisar tentang PARLIMEN.

Enjoy it.












Rakyat Guides 1
(klik untuk besarkan)














Rakyat Guides 2
(klik untuk besarkan)






Pesanan Khidmat Rakyat 4 : PARLIMEN



p/s : asas untuk mereka yang ingin menjadi MP satu hari nanti, izzuddin patut baca ni ! =)

Sunday, May 2, 2010

Untuk Kesekian Kalinya

Assalamualaikum wrt wbt.

Insiden seorang remaja lelaki berumur 15 tahun yang mati ditembak pihak polis minggu lalu mengundang pelbagai reaksi terhadap PDRM. Suara masyarakat yang mahukan siasatan telus segera dijalankan bagi menuntut keadilan terhadap pihak terlibat terus kedengaran.

Alhamdulillah sebenarnya rakyat negara kita masih prihatin dalam mencermati isu ini.

Saya menyokong penuh terhadap cadangan-cadangan yang dikemukakan dan sudah pasti kita semua mengharapkan kebenaran ditegakkan tanpa menyembunyikan fakta sebenar dengan niat untuk melindungi pihak-pihak tertentu.

Untuk rekod, kes seumpama ini sebenarnya bukan yang pertama kali berlaku dalam lipatan sejarah perkhidmatan polis negara kita. Jumlah kes sebegini yang semakin meningkat sudah pasti meninggalkan kesan cukup negatif serta mencalarkankan lagi imej PDRM yang sebelum ini kerap kali dipersoalkan dalam aspek berkaitan tugas mereka.

Persoalan yang timbul, dimanakah cadangan-cadangan serta resolusi yang telah di keluarkan panel siasatan sebelum ini bagi kes-kes seperti ini yang dapat diambil panduan agar pihak polis lebih berhati-hati dalam menjalankan tugas?

Adakah ianya sekadar keputusan dan cadangan semata-semata, sambil keluarga mangsa serta masyarakat yang lain perlu menunggu untuk satu lagi inkues dijalankan yang mana apa jua keputusan nya, ia hanya akan kekal sebagai keputusan sahaja, tidak lebih dari itu !

Tindakan yang lebih drastik perlu diambil oleh pihak bertanggungjawab berteraskan keadilan yang hakiki.

Sudah tiba masanya untuk pihak polis bangkit dari tidur dengan mengambil iktibar dari peristiwa-peristiwa yang telah berlaku demi untuk mengembalikan integriti dan kepercayaan masyarakat terhadap PDRM.


Salam takziah untuk keluarga mangsa & Al-fatihah buat allahyarham Aminulrasyid Hamzah,
semoga rohnya dicucuri rahmat, amin.



Monday, April 26, 2010

PERLEMBAGAAN : Apa yang anda tahu?










Assalamu'alaikum wrt wbt.

Saya percaya masih ramai lagi rakyat negara kita yang masih tertanya-tanya apakah yang dinamakan Perlembagaan Persekutuan, lebih-lebih lagi golongan mahasiswa yang merupakan pelapis kepada kepimpinan negara pada masa akan datang.

Tak percaya? tepuk dada tanyalah diri masing-masing.

Antara yang telah dilancarkan kempen ini :

- Buku Panduan Rakyat

  1. Apa itu Perlembagaan Persekutuan?
  2. Institusi Perlembagaan & Pemisahan Kuasa
  3. Hubungan Kerajaan Persekutuan - Kerajaan Negeri

- Pesanan Khidmat Rakyat ( versi animasi )

  1. Apa itu Perlembagaan Persekutuan?
  2. Institusi Perlembagaan & Pemisahan Kuasa
  3. Hubungan Kerajaan Persekutuan - Kerajaan Negeri

Oleh itu, ayuh sama-sama kita nyatakan sokongan terhadap kempen ini dan tambahkan lagi pengetahuan berkenaan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tonggak utama dalam pentadbiran negara.

Kredit untuk pihak penganjur!
Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan dan Majlis Peguam Malaysia

p/s : untuk maklumat lanjut sila ke http://www.perlembagaanku.com

Monday, March 22, 2010

Sekadar Percubaan Sahaja

assalamualaikum wbt..sekadar percubaan untuk memberikan yg terbaik pada diri