Sunday, May 2, 2010

Untuk Kesekian Kalinya

Assalamualaikum wrt wbt.

Insiden seorang remaja lelaki berumur 15 tahun yang mati ditembak pihak polis minggu lalu mengundang pelbagai reaksi terhadap PDRM. Suara masyarakat yang mahukan siasatan telus segera dijalankan bagi menuntut keadilan terhadap pihak terlibat terus kedengaran.

Alhamdulillah sebenarnya rakyat negara kita masih prihatin dalam mencermati isu ini.

Saya menyokong penuh terhadap cadangan-cadangan yang dikemukakan dan sudah pasti kita semua mengharapkan kebenaran ditegakkan tanpa menyembunyikan fakta sebenar dengan niat untuk melindungi pihak-pihak tertentu.

Untuk rekod, kes seumpama ini sebenarnya bukan yang pertama kali berlaku dalam lipatan sejarah perkhidmatan polis negara kita. Jumlah kes sebegini yang semakin meningkat sudah pasti meninggalkan kesan cukup negatif serta mencalarkankan lagi imej PDRM yang sebelum ini kerap kali dipersoalkan dalam aspek berkaitan tugas mereka.

Persoalan yang timbul, dimanakah cadangan-cadangan serta resolusi yang telah di keluarkan panel siasatan sebelum ini bagi kes-kes seperti ini yang dapat diambil panduan agar pihak polis lebih berhati-hati dalam menjalankan tugas?

Adakah ianya sekadar keputusan dan cadangan semata-semata, sambil keluarga mangsa serta masyarakat yang lain perlu menunggu untuk satu lagi inkues dijalankan yang mana apa jua keputusan nya, ia hanya akan kekal sebagai keputusan sahaja, tidak lebih dari itu !

Tindakan yang lebih drastik perlu diambil oleh pihak bertanggungjawab berteraskan keadilan yang hakiki.

Sudah tiba masanya untuk pihak polis bangkit dari tidur dengan mengambil iktibar dari peristiwa-peristiwa yang telah berlaku demi untuk mengembalikan integriti dan kepercayaan masyarakat terhadap PDRM.


Salam takziah untuk keluarga mangsa & Al-fatihah buat allahyarham Aminulrasyid Hamzah,
semoga rohnya dicucuri rahmat, amin.



0 comments:

Post a Comment