Showing posts with label Semasa. Show all posts
Showing posts with label Semasa. Show all posts

Sunday, May 15, 2011

IPT : Antara Ranking dan Nilai Ilmu

Assalamualaikum wbt.


Sejak mencapai kemerdekaan, Malaysia telah menyaksikan pembangunan fasa-fasa utama dalam Transformasi Ekonomi ASEAN. Fasa-fasa tersebut berperanan penting dalam memacu pembangunan sesebuah negara kearah melahirkan negara yang berdaya saing dari pelbagai sudut. Sekali imbas, jika era 1960 an sehingga 1970 an lebih berorientasikan buruh, dan era 1980 an sehingga 1990 an lebih berorientasikan modal, maka di era globalisasi ini dimana keadaan ekonominya yang lebih mencabar dan sukar dijangka, sudah pasti ekonomi di waktu sekarang sangat menjurus serta berorientasikan ilmu pengetahuan.


Ini bermaksud daya saing sesebuah negara serta kejayaan di pentas antarabangsa akan bergantung kepada ilmu pengetahuan yang dimiliki dan inovasi kreatif yang di hasilkan. Kedua-dua faktor utama ini dibahukan kepada institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) yang berfungsi sebagai kilang untuk mengeluarkan tenaga kerja masa depan negara. Persediaan yang cukup perlu di wujudkan selain pendekatan holistik serta berstrategik yang harus diambil kira untuk menangani cabaran ini.


Perubahan-perubahan dinamik dalam senario pengajian tinggi di seluruh dunia menuntut anjakan paradigma segera dalam institusi pengajian tinggi Malaysia. Sekiranya kita berhajat untuk menjadi pusat kecermerlangan pendidikan tinggi dunia yang berteraskan produk modal insan berminda kelas pertama, maka isu-isu seperti kualiti graduan dan kebolehpasaran, ranking IPT di peringkat dunia dan permintaan umum terhadap institusi pengajian tinggi perlu diperhalusi dengan sebaiknya.


Sejajar dengan hasrat ini,maka Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) dan Pelan Tindakan Pengajian Tinggi Negara telah digariskan pada 2007 bagi memenuhi prinsip -prinsip yang diperlukan untuk merealisasikan transformasi berkenaan. Antara tujuan utamanya adalah untuk mengeluarkan modal insan kelas pertama dengan berasaskan sistem pendidikan tinggi negara secara total melalui beberapa tempoh fasa yang telah ditetapkan. Selain itu,pelan transformasi ini juga meletakkan sasaran IPT Malaysia berada dalam kedudukan ranking terbaik dunia.


Perlu diketahui semua bahawa dua sistem ranking dunia yang dikenali dan lazimnya digunakan sebagai sandaran umum ialah Times Higher Education World University (THE) dan QS World University Rankings atau singkatannya QS. Kedua-dua sistem ini menggunakan metodologi komponen dan indicator yang berbeza dalam menghasilkan keputusan ranking masing-masing.


Sebagai contoh, QS yang menyenaraikan ranking universiti berdasarkan komponen Employer Reputation Index,yang antara lainnya menjelaskan kajian telah dijalankan dalam kalangan majikan berhubung pandangan mereka terhadap kualiti graduan sesebuah IPT. Tambahan lagi, dalam ranking QS ini sebanyak 300 buah IPT telah disenaraikan dan dalam ranking terbaru empat buah IPT negara turut tersenarai iaitu Universiti Malaya di tangga 177, Universiti Teknologi Malaysia (207), Universiti Sains Malaysia (254) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (281).


Berdasarkan kedudukan ranking IPT negara dilihat tidak memberangsangkan, namun itu bukan bermakna IPT negara tidak mempunyai nilai akademik yang setanding dengan universiti luar yang lain khususnya Negara Barat. Umpamanya graduan kejuruteraan Universiti Sains Malaysia, yang boleh disifatkan sebaris dengan jurutera yang dikeluarkan negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada bahkan Jepun memandangkan kesemua program kejuruteraan mendapat pengiktirafan Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) serta Washington Accord (WA) yang berpangkalan di Amerika Syarikat. Badan ini juga adalah organisasi professional yang memberi pengiktirafan kepada program-program kejuruteraan di seluruh dunia. Di antara negara yang diiktiraf sebagai ahli termasuk Australia, Kanada, UK, US, New Zealand, Ireland dan Malaysia.


Sebaliknya sebilangan tokoh akademik dalam negara menyifatkan sistem penilaian ranking universiti dunia sebegini dilihat menggunakan neraca yang tidak stabil dan kayu ukur yang tidak tetap. Tambahan pula, adalah tidak adil untuk membandingkan universiti seluruh dunia yang kebanyakkan pelajarnya sarjana dengan IPT negara yang majoriti pelajarnya mengambil ijazah pertama. Mereka dengan yakin menegaskan bahawa kedudukan ranking hanya dinilai dari aspek kuantitatif sahaja sedangkan apa yang digariskan Falsafah Pendidikan Negara meliputi aspek intelek, jasmani serta rohani.


Sebenarnya apa yang lebih penting dalam isu ini adalah kita perlu melihat budaya ilmu itu dari perspektif yang lebih luas, bukan sekadar mengejar tuntutan kemodenan globalisasi semata-mata tanpa mempedulikan identiti Ketimuran kita yang jelas matlamat serta hala tujunya berasaskan kebenaran hakiki.


Islam mewajibkan akan ummatnya menuntut ilmu walaupun terpaksa ke setiap pelosok ceruk dunia sekalipun. Ayat ‘Bacalah dengan nama TuhanMu’ itu menuntut kita untuk lebih bersyukur dengan kehidupan serta mengamalkan ilmu pengetahuan yang dikurniakan itu untuk menghayati kebesaran kejadian ciptaanNya. Kita tidak mahu memperjudikan ilmu pengetahuan dengan aspek lahiriah semata-mata yang mana kesudahannya akan melahirkan ramai insan genius tetapi kosong jiwanya ! Penyakit Barah seperti inilah yang memungkinkan tersebarnya virus rasuah, fitnah , pecah amanah, serta bakteria-bakteria sosial yang lain dalam kalangan masyarakat hari ini.


Oleh itu, harus wujud perbezaan yang ketara antara sistem nilai dengan teknologi semata-mata kerana objektif dasar pendidikan sebenar yang berasaskan ilmu pengetahuan bukan untuk memproses mahasiswa menjadi robot tetapi mendidik pelajar untuk mengiktiraf keagungan Tuhan. Tidak semua teknologi Barat tidak boleh diambil namun segala sistem nilai yang wujud di sana perlu dibentuk mengikut acuan dan roh kita sebagai khalifah di muka bumi Allah Ta’ala.


Secara kesimpulannya, kita perlu akur dengan konsep sunatullah bahawa ukuran transformasi IPT negara tidak akan berjaya sekiranya kita hanya berpaksikan nilai kuantitatif dan sistem ranking semata – mata tanpa menjunjung prinsip kualititatif yang hakiki sebagai seorang Muslim dalam proses untuk mengangkat sistem pendidikan negara ke arah yang lebik baik.


Selamat Hari Guru Untuk Semua Yang Bergelar Guru, Pendidik dan Pensyarah

Tuesday, June 15, 2010

Penstrukturan Waktu Persidangan

Assalamualaikum wrt wbt


Berkuatkuasa 1 Julai 2010, semua Mahkamah Rendah, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan akan memulakan persidangan pada waktu yang lebih awal berbanding sebelum ini.

Penjadualan terbaru ini terkandung dalam Arahan Amalan Bil 4 Tahun 2010, yang menyatakan Ketua Hakim Negara telah mengarahkan Mahkamah Rendah serta Mahkamah Tinggi bersidang pada 8.30 pagi manakala Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan bersidang pada 9.00 pagi setiap hari.

Menurut kerajaan, arahan penguatkuasaaan ini adalah bertujuan untuk menjadikan mahkamah lebih produktif tanpa membuang masa serta dapat melupuskan lebih banyak kes setiap hari.

Ini akan memberikan lebih masa kepada seorang Hakim atau Majistret untuk mendengar lebih banyak kes seterusnya melupuskan lebih banyak kes tertunggak dan juga mempercepatkan pendengaran kes-kes lain.

Waktu persidangan lebih awal bagi Mahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi berbanding Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan adalah kerana jumlah kes lebih tinggi direkodkan diMahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi.

Secara ringkasnya ;-

  • Sistem yang bakal diimplementasikan ini merupakan satu langkah positif ke arah menyelesaikan tunggakan kes yang semakin serius di mahkamah walaupun arahan yang dikeluarkan Ketua Hakim Negara merupakan arahan am sahaja.
  • Kerajaan juga harus menitikberatkan faktor-faktor biasa yang mendorong tunggakan kes dimahkamah antaranya tiada penggantian Hakim secara sistematik dan segera bagi sesebuah mahkamah apabila seseorang Hakim dimahkamah tersebut ditukar ke tempat lain secara tiba-tiba ( seperti yang dilaporkan berlaku di Mahkamah Sesyen Telok Intan baru-baru ini )
  • Keputusan segera perlu dikeluarkan kerajaan setelah menjalankan kajian terperinci terhadap kewajaran cadangan penggunaan sistem e-filling dimahkamah serta cadangan mengadakan persidangan mahkamah tambahan pada waktu malam bagi mengatasi masalah tunggakan kes ini.

Thursday, May 20, 2010

Peguam Syarie ?

Assalamualaikum wrt wbt

  • Isu seorang peguam wanita bukan beragama Islam, Victoria Jayaseelee Martin, yang berjaya memperolehi kebenaran Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur bagi mendapatkan semakan kehakiman untuk beliau berkhidmat sebagai peguam di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur menjadi isu perbualan hangat dikalangan para akademik, pelajar undang-undang mahupun orang biasa (layman).
  • Memahami fakta kes dan perjalanan prosiding mahkamah dengan penuh teliti dan berhati-hati amatlah penting sebelum kenyataan melulu dikeluarkan.
  • Dalam kes ini, pemohon telah membawa perkara ini ke Mahkamah Sivil untuk membuat satu semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Jawatankuasa Peguam Syarie yang menolak permohonan beliau untuk menjadi peguam syarie. Sebelum sampai ke proses itu beliau perlu mendapat perintah keizinan dari mahkamah tinggi untuk memulakan tindakan tersebut. Permohonan untuk mendapatkan `leave` ini yang telah diluluskan oleh Mahkamah Tinggi Sivil baru-baru ini.
  • Pemohon belum lagi dibenarkan oleh pihak mahkamah untuk menjadi peguam syarie. Pihak mahkamah hanya membenarkan pemohon untuk membuat semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Peguam Syarie yang telah menolak pemohonan beliau.
  • Justeru, tidak timbul isu mahkamah TELAH membenarkan peguam bukan Islam menjadi peguam syarie.
  • Sebagai persediaan untuk menghadapi kes semakan kehakiman ini, saya mengesyorkan untuk kita buat satu kajian yang mendalam dengan merujuk proviso yang terdapat di dalam Kaedah-Kaedah Peguam Syarie di setiap negeri dan juga merujuk perbahasan dalam kitab-kitab Fiqh. Mungkin juga boleh rujuk bab Al-Wakalah dalam sub topik Wakalah bil al-Khusumah.

Dipetik dari Husaini Hussein

Bersama-sama kita doakan agar keadilan & kebenaran milik ISLAM jua akhirnya, moga Allah sentiasa melindungi syariat dan pejuang2 diatas jalanNYA sebagai kesinambungan kepada epilog kebangkitan ISLAM di bumi Malaysia, Amin...

Wednesday, May 5, 2010

Ke Arah Islamisasi Malaysia ?

Assalamualaikum wrt wbt.

Apabila disebut tentang ekonomi fikiran saya pantas terarah kepada sekumpulan kelompok nombor dan rumus serta formula yang amat mencabar untuk difahami, ianya merupakan fear factor bagi saya tambahan pula saya bukanlah ahlinya.

Namun kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe semalam menarik perhatian saya.

Kerajaan mengumumkan akan menggubal akta baru yang dinamakan AKTA SEWA BELI ISLAM hujung tahun ini.

Langkah ini diambil berikutan ciri-ciri sewa beli Islam tidak sesuai untuk digabungkan di bawah Akta Sewa Beli sedia ada yang mengandungi ciri-ciri sewa beli konvensional sahaja. Sebagai makluman, sebelum ini negara kita menggunakan AKTA SEWA BELI 1967 dalam urusan berkaitan.

Saya melihat ianya berkait rapat dengan dasar liberalisasi kewangan yang dilancarkan kerajaan baru-baru ini untuk menarik lebih ramai lagi pelabur asing bagi menjana kembali pertumbuhan ekonomi negara.

Hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hub kewangan Islam antarabangsa bakal diperkukuhkan lagi dengan wujudnya AKTA SEWA BELI ISLAM nanti. Walaupun dilaporkan sektor kewangan Islam sebelum ini dilihat kurang menjadi kerana hanya menguasai kurang satu peratus daripada instrumen kewangan global.

Ia juga selaras dengan penubuhan Malaysia International Islamic Financial Center (MIFC) yang merupakan salah satu agenda nasional untuk mengoptimumkan kelebihan daya saing Malaysia dalam bidang kewangan Islam di peringkat global berdasarkan aspek-aspek tertentu.


Antara beberapa lagi langkah lain yang dilihat selari dengan aspirasi besar kerajaan tersebut adalah :

  • Kewujudan IMCEIF ataupun Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa yang merupakan universiti antarabangsa pertama yang mengkhususkan dalam jurusan Kewangan Islam bagi melahirkan tenaga kerja kompeten di peringkat nasional dan global.
  • Pewartaan Akta Bank Negara Malaysia 2009 yang antara lain mengiktiraf kewangan Islam sebagai sebahagian daripada sistem kewangan negara.
  • Penubuhan Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa (ISRA) bagi menerajui usaha penyelidikan dan inovasi berkaitan syariah dalam kewangan Islam serta merangsang kefahaman yang jelas mengenai prinsip syariah dalam kewangan Islam di peringkat negeri dan antarabangsa.
  • Penubuhan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) yang menawarkan latihan kepada tenaga kerja industri kewangan khususnya dalam bidang kewangan Islam serta khidmat runding secara perbankan Islam kepada beberapa negara OIC seperti Kazakhstan dan Afghanistan.

Setakat ini saya masih melihat secara positif terhadap perkara ini walaupun pada hakikat sebenarnya masih banyak lagi yang perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan jika benar ikhlas untuk menjadikan negara sebagai hub sektor kewangan Islam antarabangsa dan bukannya salah satu political mileage serta umpan retorika untuk pilihanraya umum akan datang.

Antaranya ialah berkenaan penghapusan sistem kewangan riba secara total dalam semua sektor jabatan2 kerajaan, penggunaan sistem yang berteraskan syariat sebagai panduan utama dan juga melahirkan sistem kewangan yang benar-benar adil serta telus bagi menjamin kehidupan rakyat dalam segenap aspek berkaitan.

Semoga ianya berjalan dengan lancar menerusi pemantauan yang berskala tetap serta penambahbaikan dari masa ke semasa untuk menjamin peningkatan prestasi ke tahap yang lebih baik.


p/s : sebarang komen dan kritikan serta pembetulan fakta amatlah dialu2kan.



Sunday, May 2, 2010

Untuk Kesekian Kalinya

Assalamualaikum wrt wbt.

Insiden seorang remaja lelaki berumur 15 tahun yang mati ditembak pihak polis minggu lalu mengundang pelbagai reaksi terhadap PDRM. Suara masyarakat yang mahukan siasatan telus segera dijalankan bagi menuntut keadilan terhadap pihak terlibat terus kedengaran.

Alhamdulillah sebenarnya rakyat negara kita masih prihatin dalam mencermati isu ini.

Saya menyokong penuh terhadap cadangan-cadangan yang dikemukakan dan sudah pasti kita semua mengharapkan kebenaran ditegakkan tanpa menyembunyikan fakta sebenar dengan niat untuk melindungi pihak-pihak tertentu.

Untuk rekod, kes seumpama ini sebenarnya bukan yang pertama kali berlaku dalam lipatan sejarah perkhidmatan polis negara kita. Jumlah kes sebegini yang semakin meningkat sudah pasti meninggalkan kesan cukup negatif serta mencalarkankan lagi imej PDRM yang sebelum ini kerap kali dipersoalkan dalam aspek berkaitan tugas mereka.

Persoalan yang timbul, dimanakah cadangan-cadangan serta resolusi yang telah di keluarkan panel siasatan sebelum ini bagi kes-kes seperti ini yang dapat diambil panduan agar pihak polis lebih berhati-hati dalam menjalankan tugas?

Adakah ianya sekadar keputusan dan cadangan semata-semata, sambil keluarga mangsa serta masyarakat yang lain perlu menunggu untuk satu lagi inkues dijalankan yang mana apa jua keputusan nya, ia hanya akan kekal sebagai keputusan sahaja, tidak lebih dari itu !

Tindakan yang lebih drastik perlu diambil oleh pihak bertanggungjawab berteraskan keadilan yang hakiki.

Sudah tiba masanya untuk pihak polis bangkit dari tidur dengan mengambil iktibar dari peristiwa-peristiwa yang telah berlaku demi untuk mengembalikan integriti dan kepercayaan masyarakat terhadap PDRM.


Salam takziah untuk keluarga mangsa & Al-fatihah buat allahyarham Aminulrasyid Hamzah,
semoga rohnya dicucuri rahmat, amin.