Thursday, May 20, 2010

Peguam Syarie ?

Assalamualaikum wrt wbt

  • Isu seorang peguam wanita bukan beragama Islam, Victoria Jayaseelee Martin, yang berjaya memperolehi kebenaran Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur bagi mendapatkan semakan kehakiman untuk beliau berkhidmat sebagai peguam di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur menjadi isu perbualan hangat dikalangan para akademik, pelajar undang-undang mahupun orang biasa (layman).
  • Memahami fakta kes dan perjalanan prosiding mahkamah dengan penuh teliti dan berhati-hati amatlah penting sebelum kenyataan melulu dikeluarkan.
  • Dalam kes ini, pemohon telah membawa perkara ini ke Mahkamah Sivil untuk membuat satu semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Jawatankuasa Peguam Syarie yang menolak permohonan beliau untuk menjadi peguam syarie. Sebelum sampai ke proses itu beliau perlu mendapat perintah keizinan dari mahkamah tinggi untuk memulakan tindakan tersebut. Permohonan untuk mendapatkan `leave` ini yang telah diluluskan oleh Mahkamah Tinggi Sivil baru-baru ini.
  • Pemohon belum lagi dibenarkan oleh pihak mahkamah untuk menjadi peguam syarie. Pihak mahkamah hanya membenarkan pemohon untuk membuat semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Peguam Syarie yang telah menolak pemohonan beliau.
  • Justeru, tidak timbul isu mahkamah TELAH membenarkan peguam bukan Islam menjadi peguam syarie.
  • Sebagai persediaan untuk menghadapi kes semakan kehakiman ini, saya mengesyorkan untuk kita buat satu kajian yang mendalam dengan merujuk proviso yang terdapat di dalam Kaedah-Kaedah Peguam Syarie di setiap negeri dan juga merujuk perbahasan dalam kitab-kitab Fiqh. Mungkin juga boleh rujuk bab Al-Wakalah dalam sub topik Wakalah bil al-Khusumah.

Dipetik dari Husaini Hussein

Bersama-sama kita doakan agar keadilan & kebenaran milik ISLAM jua akhirnya, moga Allah sentiasa melindungi syariat dan pejuang2 diatas jalanNYA sebagai kesinambungan kepada epilog kebangkitan ISLAM di bumi Malaysia, Amin...

Sunday, May 16, 2010

Laula Murobbi, Ma 'Araftu Robbi

Assalamualaikum wrt wbt.

Tanggal 16 Mei saban tahun secara simboliknya Hari Guru disambut bagi mengenang jasa besar golongan pendidik yang tidak pernah mengenal erti penat lelah dalam mendidik anak bangsa.

Bertemakan Guru Pembina Negara Bangsa pada tahun ini, watak utama golongan pendidik dalam membina sebuah ketamadunan yang berjaya sememangnya tidak dapat dinafikan.

Sejarah telah membuktikan kebenaran tersebut.

Bahkan tanggungjawab & peranan serta tugas mereka cukup besar untuk digalas.

Lebih-lebih lagi dalam membimbing generasi masakini agar selari dengan panduan syariat ISLAM dalam menongkah arus kemodenan akhir zaman yang kita semua sedia maklum akan cabaran & rintangannya.

Keringat serta jasa guru tidak ternilai harganya, hanya ucapan jutaan terima kasih serta doa yang mampu saya panjatkan buat cikgu semua, murobbiku.


Guru O Guru

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta

Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Trengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku

Budi yang di apungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Allahyarham Usman Awang
1979


Wednesday, May 5, 2010

Ke Arah Islamisasi Malaysia ?

Assalamualaikum wrt wbt.

Apabila disebut tentang ekonomi fikiran saya pantas terarah kepada sekumpulan kelompok nombor dan rumus serta formula yang amat mencabar untuk difahami, ianya merupakan fear factor bagi saya tambahan pula saya bukanlah ahlinya.

Namun kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe semalam menarik perhatian saya.

Kerajaan mengumumkan akan menggubal akta baru yang dinamakan AKTA SEWA BELI ISLAM hujung tahun ini.

Langkah ini diambil berikutan ciri-ciri sewa beli Islam tidak sesuai untuk digabungkan di bawah Akta Sewa Beli sedia ada yang mengandungi ciri-ciri sewa beli konvensional sahaja. Sebagai makluman, sebelum ini negara kita menggunakan AKTA SEWA BELI 1967 dalam urusan berkaitan.

Saya melihat ianya berkait rapat dengan dasar liberalisasi kewangan yang dilancarkan kerajaan baru-baru ini untuk menarik lebih ramai lagi pelabur asing bagi menjana kembali pertumbuhan ekonomi negara.

Hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hub kewangan Islam antarabangsa bakal diperkukuhkan lagi dengan wujudnya AKTA SEWA BELI ISLAM nanti. Walaupun dilaporkan sektor kewangan Islam sebelum ini dilihat kurang menjadi kerana hanya menguasai kurang satu peratus daripada instrumen kewangan global.

Ia juga selaras dengan penubuhan Malaysia International Islamic Financial Center (MIFC) yang merupakan salah satu agenda nasional untuk mengoptimumkan kelebihan daya saing Malaysia dalam bidang kewangan Islam di peringkat global berdasarkan aspek-aspek tertentu.


Antara beberapa lagi langkah lain yang dilihat selari dengan aspirasi besar kerajaan tersebut adalah :

  • Kewujudan IMCEIF ataupun Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa yang merupakan universiti antarabangsa pertama yang mengkhususkan dalam jurusan Kewangan Islam bagi melahirkan tenaga kerja kompeten di peringkat nasional dan global.
  • Pewartaan Akta Bank Negara Malaysia 2009 yang antara lain mengiktiraf kewangan Islam sebagai sebahagian daripada sistem kewangan negara.
  • Penubuhan Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa (ISRA) bagi menerajui usaha penyelidikan dan inovasi berkaitan syariah dalam kewangan Islam serta merangsang kefahaman yang jelas mengenai prinsip syariah dalam kewangan Islam di peringkat negeri dan antarabangsa.
  • Penubuhan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) yang menawarkan latihan kepada tenaga kerja industri kewangan khususnya dalam bidang kewangan Islam serta khidmat runding secara perbankan Islam kepada beberapa negara OIC seperti Kazakhstan dan Afghanistan.

Setakat ini saya masih melihat secara positif terhadap perkara ini walaupun pada hakikat sebenarnya masih banyak lagi yang perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan jika benar ikhlas untuk menjadikan negara sebagai hub sektor kewangan Islam antarabangsa dan bukannya salah satu political mileage serta umpan retorika untuk pilihanraya umum akan datang.

Antaranya ialah berkenaan penghapusan sistem kewangan riba secara total dalam semua sektor jabatan2 kerajaan, penggunaan sistem yang berteraskan syariat sebagai panduan utama dan juga melahirkan sistem kewangan yang benar-benar adil serta telus bagi menjamin kehidupan rakyat dalam segenap aspek berkaitan.

Semoga ianya berjalan dengan lancar menerusi pemantauan yang berskala tetap serta penambahbaikan dari masa ke semasa untuk menjamin peningkatan prestasi ke tahap yang lebih baik.


p/s : sebarang komen dan kritikan serta pembetulan fakta amatlah dialu2kan.



Monday, May 3, 2010

Seketika di PARLIMEN

Assalamualaikum wrt wbt.

Kempen MyConstitution/PerlembagaanKu meneruskan lagi langkahnya, penerangan kali ini berkisar tentang PARLIMEN.

Enjoy it.












Rakyat Guides 1
(klik untuk besarkan)














Rakyat Guides 2
(klik untuk besarkan)






Pesanan Khidmat Rakyat 4 : PARLIMEN



p/s : asas untuk mereka yang ingin menjadi MP satu hari nanti, izzuddin patut baca ni ! =)

Sunday, May 2, 2010

Untuk Kesekian Kalinya

Assalamualaikum wrt wbt.

Insiden seorang remaja lelaki berumur 15 tahun yang mati ditembak pihak polis minggu lalu mengundang pelbagai reaksi terhadap PDRM. Suara masyarakat yang mahukan siasatan telus segera dijalankan bagi menuntut keadilan terhadap pihak terlibat terus kedengaran.

Alhamdulillah sebenarnya rakyat negara kita masih prihatin dalam mencermati isu ini.

Saya menyokong penuh terhadap cadangan-cadangan yang dikemukakan dan sudah pasti kita semua mengharapkan kebenaran ditegakkan tanpa menyembunyikan fakta sebenar dengan niat untuk melindungi pihak-pihak tertentu.

Untuk rekod, kes seumpama ini sebenarnya bukan yang pertama kali berlaku dalam lipatan sejarah perkhidmatan polis negara kita. Jumlah kes sebegini yang semakin meningkat sudah pasti meninggalkan kesan cukup negatif serta mencalarkankan lagi imej PDRM yang sebelum ini kerap kali dipersoalkan dalam aspek berkaitan tugas mereka.

Persoalan yang timbul, dimanakah cadangan-cadangan serta resolusi yang telah di keluarkan panel siasatan sebelum ini bagi kes-kes seperti ini yang dapat diambil panduan agar pihak polis lebih berhati-hati dalam menjalankan tugas?

Adakah ianya sekadar keputusan dan cadangan semata-semata, sambil keluarga mangsa serta masyarakat yang lain perlu menunggu untuk satu lagi inkues dijalankan yang mana apa jua keputusan nya, ia hanya akan kekal sebagai keputusan sahaja, tidak lebih dari itu !

Tindakan yang lebih drastik perlu diambil oleh pihak bertanggungjawab berteraskan keadilan yang hakiki.

Sudah tiba masanya untuk pihak polis bangkit dari tidur dengan mengambil iktibar dari peristiwa-peristiwa yang telah berlaku demi untuk mengembalikan integriti dan kepercayaan masyarakat terhadap PDRM.


Salam takziah untuk keluarga mangsa & Al-fatihah buat allahyarham Aminulrasyid Hamzah,
semoga rohnya dicucuri rahmat, amin.