Friday, June 11, 2010

GST : Perlukan Kajian Menyeluruh

Assalamualaikum wrt wbt


Setakat hari ini, kerajaan belum lagi menetapkan tarikh pelaksanaan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) kerana dikatakan pemahaman di peringkat rakyat belum lagi jelas terutamanya terhadap isu kenaikan barang oleh peniaga secara berlebihan berasaskan kewujudan GST.

Kenapa kerajaan beria-ia untuk melaksanakan GST ?


Kelebihan & faedah dipihak kerajaan :

  • Mengembangkan asas cukai kerajaan supaya lebih meluas dan tidak terlalu bergantung kepada cukai pendapatan dan petroleum
  • Mengukuhkan hasil dan kewangan kerajaan dalam jangka masa panjang ( yang akan membolehkan kerajaan menjalankan perbelanjaan pembangunan dengan lebih baik serta membayar gaji penjawat awam yang lebih tinggi )
  • Kelebihan sistem GST itu sendiri ( 146 buah negara telah melaksanakannya termasuklah negara maju di Eropah dan negara serantau lain seperti Jepun, China, Australia, New Zealand, Singapura bahkan Indonesia, Vietnam, Kemboja dan Laos juga telah melaksanakannya )

Rakyat pula tidak perlu bimbang kerana banyak barang keperluan asas seperti makanan akan DIKECUALIKAN atau DIBEBASKAN dari GST, antaranya :

  • Produk Pertanian - padi dan sayur-sayuran segar.
  • Barang Makanan - beras, gula, garam, tepung, minyak masak, binatang ternakan dan daging lembu, kerbau, khinzir, kambing, ayam dan itik, telur, ikan, udang, kerang dan sotong.
  • Bekalan Elektrik dan Bekalan Air.
  • Barang dan Perkhidmatan yang dieksport.

Perbezaan DIKECUALIKAN dan DIBEBASKAN dari GST :

  • DIKECUALIKAN - tidak perlu bayar cukai.
  • DIBEBASKAN - bukan sahaja tidak perlu bayar cukai tetapi dibolehkan lagi menuntut cukai-cukai yang dibayar kepada input-inputnya.

Kebaikan dan faedah kepada peniaga dan pengilang :

  • Boleh menuntut semula GST yang dikenakan ke atas input yang digunakan dalam barangan yang dihasilkan atau dalam perniagaan mereka.
  • Bermakna mereka hanya perlu membayar cukai ke atas nilai yang ditambah oleh mereka sahaja ( mengelakkan dari cukai bertindih atau double taxation ) .
  • 433 558 atau 78 peratus entiti perniagaan akan DIKECUALIKAN daripada sistem GST ( hanya syarikat perniagaan yang mempunyai jualan sebanyak RM 500 000 setahun di atas sahaja yang tertakluk pada GST ) .

Berapa peratus kadar GST akan dilaksanakan ?


Hanya pada kadar 4 peratus sahaja bagi memberikan kesan positif dinikmati rakyat, antaranya :

  • Kadar beban cukai golongan MISKIN sekarang 2.38 % akan turun kepada 2.17 %. (penurunan 0.21 peratus)
  • Kadar beban cukai golongan PENDAPATAN RENDAH sekarang 2.75 % akan turun kepada 2.43 % (penurunan 0.32 peratus)
  • Golongan SEDERHANA 2.94 % kepada 2.54 % (penurunan 0.4 peratus)
  • Golongan TINGGI 3.13 % kepada 2.74 % (penurunan 0.39 peratus)
  • Secara puratanya beban cukai akan turun dari 2.88 % kepada 2.53 % (penurunan sebanyak 0.35 peratus)

Dari sudut INFLASInya juga akan mengalami penurunan :


  • Dari segi IHP atau Indeks Harga Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan dijangka turun 0.08 % .
  • 1.2 % penurunan sektor Restoran dan hotel .
  • 1.86 % penurunan sektor Komunikasi .
  • 0.94 % penurunan sektor Pengangkutan .
  • Melalui perkiraan secara keseluruhannya dari segi impak harga pengguna dijangka turun 0.1 % .

Bagi mengatasi masalah fraud dan isu ketidakpatuhan kerajaan akan membentangkan Rang Undang-undang Anti Profeeting.

Bacaan kali pertama setakat ini sudah dibuat di Parlimen. Ianya penting bagi menghalang kegiatan mengambil keuntungan yang berlebihan dipihak peniaga dan pengusaha barangan.

Kementerian Kewangan melaporkan sesi penerangan dan pemahaman mendapat feedback positif dari rakyat melibatkan 126 buah program telah dianjurkan kerajaan dengan lebih 18 000 peserta menyertainya.


Sekali imbas, ianya satu sistem yang cukup sempurna untuk diaplikasikan.

Namun ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan sebelum melaksanakan GST supaya ianya tidak menjadi liabiliti dan membawa kerugian kepada negara dan rakyat dalam tempoh jangka masa yang panjang. Antaranya :

  • Menjalankan kajian secara terperinci terhadap tahap keberkesanan GST yang telah digunapakai dinegara sedang membangun dan pendapatan per kapita yang kurang dari Malaysia seperti Sudan, Thailand, Brazil, Afrika Selatan (memandangkan wujudnya cadangan bahawa GST sesuai dilaksanakan bilamana negara mencapai high income status dan developed nation )
  • Memberi jaminan serta menetapkan bahawa kadar perlaksanaan GST yang akan digunapakai untuk jangka masa panjang sekurang-kurangkan untuk tempoh 20 tahun akan datang adalah 4 % sahaja. Ini kerana terdapat percanggahan antara kenyataan kerajaan dan ahli lembaga National Economic Advisory Council (NEAC) yang berpendapat peratusan GST perlu dipertingkatkan lagi pada masa akan datang bagi mengukuhkan lagi pendapatan kerajaan serta mengatasi masalah defisit dan hutang kerajaan memandangkan setakat ini jangkaan hutang kerajaan persekutuan pada 2010 sebanyak RM 405.1 billion atau 52.9 peratus kepada KDNK negara.
  • Sebarang perubahan pada peratusan GST nanti hendaklah mengutamakan serta mendahulukan kebajikan kehidupan rakyat secara total berbanding memelihara kepentingan syarikat-syarikat korporat kerajaan dan swasta secara amnya.
  • Menetapkan dalam rang undang-undang Anti-Profeeting yang sedang digubal atau menggubal undang-undang baru berkenaan bayaran penalti setimpal akan dibayar kerajaan kepada pihak terlibat sekiranya pembayaran balik tax refund tidak pada masa dan tempoh yang telah ditetapkan. Ini bagi memastikan pihak kerajaan serta pihak terlibat berada pada keadaan win-win situation dan tidak menimbulkan masalah aliran tunai bagi syarikat yang terlibat dengan GST.
  • Memastikan bahawa anggaran kos pematuhan bagi syarikat serta kerajaan bagi melaksanakan GST tidak memberikan kesan atau di pass on kepada pengguna. Ini memandangkan ada kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa kos pematuhan di negara yang melaksanakan GST menjangkaui angka 3 % yang pastinya memangsakan pengguna secara hakikatnya.

Berpeganglah pada prinsip BERINGAT SEBELUM KENA serta SEDIAKAN PAYUNG SEBELUM HUJAN.

Berapa banyak dasar yang telah dilaksanakan secara terburu-buru sebelum ini yang akhirnya merugikan kita semua dengan mengambil dasar PPSMI sebagai contoh yang terdekat.

Perjudian ini melibatkan soal keseriusan serta ketelusan kerajaan dalam membawa kebaikan kepada rakyat serta perbelanjaan yang bukan seringgit dua dan tempoh penggunaan yang sekejap. Moga semua pihak mendapat manfaat daripada nya terutamanya rakyat marhaen.

2 comments:

Anonymous said...

salam...anta dapat tau dr mane maklumat ni? ke anta buat kajian sendiri? boleh anonymous nak tahu?

admin said...

Wsalam..kenyataan rasmi Kementerian Kewangan .. blh check di internet, yg lain2 topup dari research skt2..sbrg penambahan & pmbtlan dialu2kan, ni ksimpulkan kecil shj..blh tya yg ahlinya 4 details..

Post a Comment