Assalamualaikum wbt.
Sejak mencapai kemerdekaan, Malaysia telah menyaksikan pembangunan fasa-fasa utama dalam Transformasi Ekonomi ASEAN. Fasa-fasa tersebut berperanan penting dalam memacu pembangunan sesebuah negara kearah melahirkan negara yang berdaya saing dari pelbagai sudut. Sekali imbas, jika era 1960 an sehingga 1970 an lebih berorientasikan buruh, dan era 1980 an sehingga 1990 an lebih berorientasikan modal, maka di era globalisasi ini dimana keadaan ekonominya yang lebih mencabar dan sukar dijangka, sudah pasti ekonomi di waktu sekarang sangat menjurus serta berorientasikan ilmu pengetahuan.
Ini bermaksud daya saing sesebuah negara serta kejayaan di pentas antarabangsa akan bergantung kepada ilmu pengetahuan yang dimiliki dan inovasi kreatif yang di hasilkan. Kedua-dua faktor utama ini dibahukan kepada institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) yang berfungsi sebagai kilang untuk mengeluarkan tenaga kerja masa depan negara. Persediaan yang cukup perlu di wujudkan selain pendekatan holistik serta berstrategik yang harus diambil kira untuk menangani cabaran ini.
Perubahan-perubahan dinamik dalam senario pengajian tinggi di seluruh dunia menuntut anjakan paradigma segera dalam institusi pengajian tinggi Malaysia. Sekiranya kita berhajat untuk menjadi pusat kecermerlangan pendidikan tinggi dunia yang berteraskan produk modal insan berminda kelas pertama, maka isu-isu seperti kualiti graduan dan kebolehpasaran, ranking IPT di peringkat dunia dan permintaan umum terhadap institusi pengajian tinggi perlu diperhalusi dengan sebaiknya.
Sejajar dengan hasrat ini,maka Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) dan Pelan Tindakan Pengajian Tinggi Negara telah digariskan pada 2007 bagi memenuhi prinsip -prinsip yang diperlukan untuk merealisasikan transformasi berkenaan. Antara tujuan utamanya adalah untuk mengeluarkan modal insan kelas pertama dengan berasaskan sistem pendidikan tinggi negara secara total melalui beberapa tempoh fasa yang telah ditetapkan. Selain itu,pelan transformasi ini juga meletakkan sasaran IPT Malaysia berada dalam kedudukan ranking terbaik dunia.
Perlu diketahui semua bahawa dua sistem ranking dunia yang dikenali dan lazimnya digunakan sebagai sandaran umum ialah Times Higher Education World University (THE) dan QS World University Rankings atau singkatannya QS. Kedua-dua sistem ini menggunakan metodologi komponen dan indicator yang berbeza dalam menghasilkan keputusan ranking masing-masing.
Sebagai contoh, QS yang menyenaraikan ranking universiti berdasarkan komponen Employer Reputation Index,yang antara lainnya menjelaskan kajian telah dijalankan dalam kalangan majikan berhubung pandangan mereka terhadap kualiti graduan sesebuah IPT. Tambahan lagi, dalam ranking QS ini sebanyak 300 buah IPT telah disenaraikan dan dalam ranking terbaru empat buah IPT negara turut tersenarai iaitu Universiti Malaya di tangga 177, Universiti Teknologi Malaysia (207), Universiti Sains Malaysia (254) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (281).
Berdasarkan kedudukan ranking IPT negara dilihat tidak memberangsangkan, namun itu bukan bermakna IPT negara tidak mempunyai nilai akademik yang setanding dengan universiti luar yang lain khususnya Negara Barat. Umpamanya graduan kejuruteraan Universiti Sains Malaysia, yang boleh disifatkan sebaris dengan jurutera yang dikeluarkan negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada bahkan Jepun memandangkan kesemua program kejuruteraan mendapat pengiktirafan Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) serta Washington Accord (WA) yang berpangkalan di Amerika Syarikat. Badan ini juga adalah organisasi professional yang memberi pengiktirafan kepada program-program kejuruteraan di seluruh dunia. Di antara negara yang diiktiraf sebagai ahli termasuk Australia, Kanada, UK, US, New Zealand, Ireland dan Malaysia.
Sebaliknya sebilangan tokoh akademik dalam negara menyifatkan sistem penilaian ranking universiti dunia sebegini dilihat menggunakan neraca yang tidak stabil dan kayu ukur yang tidak tetap. Tambahan pula, adalah tidak adil untuk membandingkan universiti seluruh dunia yang kebanyakkan pelajarnya sarjana dengan IPT negara yang majoriti pelajarnya mengambil ijazah pertama. Mereka dengan yakin menegaskan bahawa kedudukan ranking hanya dinilai dari aspek kuantitatif sahaja sedangkan apa yang digariskan Falsafah Pendidikan Negara meliputi aspek intelek, jasmani serta rohani.
Sebenarnya apa yang lebih penting dalam isu ini adalah kita perlu melihat budaya ilmu itu dari perspektif yang lebih luas, bukan sekadar mengejar tuntutan kemodenan globalisasi semata-mata tanpa mempedulikan identiti Ketimuran kita yang jelas matlamat serta hala tujunya berasaskan kebenaran hakiki.
Islam mewajibkan akan ummatnya menuntut ilmu walaupun terpaksa ke setiap pelosok ceruk dunia sekalipun. Ayat ‘Bacalah dengan nama TuhanMu’ itu menuntut kita untuk lebih bersyukur dengan kehidupan serta mengamalkan ilmu pengetahuan yang dikurniakan itu untuk menghayati kebesaran kejadian ciptaanNya. Kita tidak mahu memperjudikan ilmu pengetahuan dengan aspek lahiriah semata-mata yang mana kesudahannya akan melahirkan ramai insan genius tetapi kosong jiwanya ! Penyakit Barah seperti inilah yang memungkinkan tersebarnya virus rasuah, fitnah , pecah amanah, serta bakteria-bakteria sosial yang lain dalam kalangan masyarakat hari ini.
Oleh itu, harus wujud perbezaan yang ketara antara sistem nilai dengan teknologi semata-mata kerana objektif dasar pendidikan sebenar yang berasaskan ilmu pengetahuan bukan untuk memproses mahasiswa menjadi robot tetapi mendidik pelajar untuk mengiktiraf keagungan Tuhan. Tidak semua teknologi Barat tidak boleh diambil namun segala sistem nilai yang wujud di sana perlu dibentuk mengikut acuan dan roh kita sebagai khalifah di muka bumi Allah Ta’ala.
Secara kesimpulannya, kita perlu akur dengan konsep sunatullah bahawa ukuran transformasi IPT negara tidak akan berjaya sekiranya kita hanya berpaksikan nilai kuantitatif dan sistem ranking semata – mata tanpa menjunjung prinsip kualititatif yang hakiki sebagai seorang Muslim dalam proses untuk mengangkat sistem pendidikan negara ke arah yang lebik baik.