Wednesday, May 5, 2010

Ke Arah Islamisasi Malaysia ?

Assalamualaikum wrt wbt.

Apabila disebut tentang ekonomi fikiran saya pantas terarah kepada sekumpulan kelompok nombor dan rumus serta formula yang amat mencabar untuk difahami, ianya merupakan fear factor bagi saya tambahan pula saya bukanlah ahlinya.

Namun kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe semalam menarik perhatian saya.

Kerajaan mengumumkan akan menggubal akta baru yang dinamakan AKTA SEWA BELI ISLAM hujung tahun ini.

Langkah ini diambil berikutan ciri-ciri sewa beli Islam tidak sesuai untuk digabungkan di bawah Akta Sewa Beli sedia ada yang mengandungi ciri-ciri sewa beli konvensional sahaja. Sebagai makluman, sebelum ini negara kita menggunakan AKTA SEWA BELI 1967 dalam urusan berkaitan.

Saya melihat ianya berkait rapat dengan dasar liberalisasi kewangan yang dilancarkan kerajaan baru-baru ini untuk menarik lebih ramai lagi pelabur asing bagi menjana kembali pertumbuhan ekonomi negara.

Hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hub kewangan Islam antarabangsa bakal diperkukuhkan lagi dengan wujudnya AKTA SEWA BELI ISLAM nanti. Walaupun dilaporkan sektor kewangan Islam sebelum ini dilihat kurang menjadi kerana hanya menguasai kurang satu peratus daripada instrumen kewangan global.

Ia juga selaras dengan penubuhan Malaysia International Islamic Financial Center (MIFC) yang merupakan salah satu agenda nasional untuk mengoptimumkan kelebihan daya saing Malaysia dalam bidang kewangan Islam di peringkat global berdasarkan aspek-aspek tertentu.


Antara beberapa lagi langkah lain yang dilihat selari dengan aspirasi besar kerajaan tersebut adalah :

  • Kewujudan IMCEIF ataupun Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa yang merupakan universiti antarabangsa pertama yang mengkhususkan dalam jurusan Kewangan Islam bagi melahirkan tenaga kerja kompeten di peringkat nasional dan global.
  • Pewartaan Akta Bank Negara Malaysia 2009 yang antara lain mengiktiraf kewangan Islam sebagai sebahagian daripada sistem kewangan negara.
  • Penubuhan Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa (ISRA) bagi menerajui usaha penyelidikan dan inovasi berkaitan syariah dalam kewangan Islam serta merangsang kefahaman yang jelas mengenai prinsip syariah dalam kewangan Islam di peringkat negeri dan antarabangsa.
  • Penubuhan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) yang menawarkan latihan kepada tenaga kerja industri kewangan khususnya dalam bidang kewangan Islam serta khidmat runding secara perbankan Islam kepada beberapa negara OIC seperti Kazakhstan dan Afghanistan.

Setakat ini saya masih melihat secara positif terhadap perkara ini walaupun pada hakikat sebenarnya masih banyak lagi yang perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan jika benar ikhlas untuk menjadikan negara sebagai hub sektor kewangan Islam antarabangsa dan bukannya salah satu political mileage serta umpan retorika untuk pilihanraya umum akan datang.

Antaranya ialah berkenaan penghapusan sistem kewangan riba secara total dalam semua sektor jabatan2 kerajaan, penggunaan sistem yang berteraskan syariat sebagai panduan utama dan juga melahirkan sistem kewangan yang benar-benar adil serta telus bagi menjamin kehidupan rakyat dalam segenap aspek berkaitan.

Semoga ianya berjalan dengan lancar menerusi pemantauan yang berskala tetap serta penambahbaikan dari masa ke semasa untuk menjamin peningkatan prestasi ke tahap yang lebih baik.


p/s : sebarang komen dan kritikan serta pembetulan fakta amatlah dialu2kan.



0 comments:

Post a Comment